Director-General of Health Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. The Drug Control Authority (DCA) has granted a conditional approval for Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector) and Janssen COVID-19 Vaccine. CanSino Biologics Inc, China Johnson & Johnson
Tan Sri Dr. Noor Hisham.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,311 kes pulih daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada jangkitan wabak tersebut kini seramai 2,425,054 orang.

Menurut beliau, terdapat 545 pesakit sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 504 kes disahkan positif Covid-19 manakala 41 kes disyaki, kemungkinan (probable) dan kes dalam siasatan.

“Sebanyak 270 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 199 kes positif Covid-19 sementara 71 kes lagi disyaki kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini (5,403 kes) sebanyak 102 kes atau 1.9 peratus adalah kategori 3,4 dan 5 manakala 5,301 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 25 kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes import manakala 5,378 kes merupakan penularan dalam negara melibatkan 5,155 warganegara dan 223 bukan warganegara.

Sebanyak enam kluster baharu dikesan membabitkan lima kategori kluster tempat kerja dan satu kluster pendidikan tinggi, katanya.

Daripada jumlah itu, dua kluster dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan manakala masing-masing satu kluster di Melaka, Johor, Kuala Lumpur dan Perak.

“Kluster pendidikan tinggi iaitu kluster Jalan Bypass 2 di Segamat, Johor menyaksikan seramai 97 individu telah disaring dengan 46 daripada mereka positif Covid-19.

“Manakala kluster tempat kerja yang dikenali kluster Industri Teknologi Cheng Lapan di Melaka merekodkan sebanyak 26 kes positif selepas 78 individu menjalani saringan Covid-19,” ujarnya.

Jelas Dr. Noor Hisham, nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) negara semalam berada pada kadar 0.94.

Lima negeri merekodkan nilai Rt tinggi melebihi tahap 1 adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.06) manakala tiga lagi negeri iaitu Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan nilai Rt pada kadar 1.00.

Sementara di Pahang, Melaka, Sabah dan Kelantan pula merekodkan nilai Rt pada kadar 0.97. – MalaysiaGazette