Penduduk New Zealand yang menyertai protes peraturan Covid-19 di luar Parlimen. foto Getty Images

WELLINGTON – New Zealand mempertingkatkan langkah keselamatan di Parlimennya pada hari ini susulan beribu-ribu orang berkumpul membantah peraturan vaksin Covid-19 dan sekatan yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengawal wabak itu.

Semua kecuali dua pintu masuk ke bangunan Parlimen, yang dikenali sebagai Beehive, ditutup sebagai langkah-langkah keselamatan selepas kebanyakan penunjuk perasaan yang tidak bertopeng berarak melalui pusat Wellington dan berkumpul di luar Parlimen.

Ketika demonstrasi berlangsung secara aman, ramai orang dilihat memegang papan tanda dan sepanduk dengan mesej seperti “Kebebasan” dan “Kiwi bukan tikus makmal” dan menjerit slogan kerana mereka menuntut kerajaan membatalkan vaksinasi wajib dan menghapuskan sekatan.

Plakat yang menunjukkan sokongan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan menyelar media sebagai “palsu” dan berbohong turut dipaparkan.

“Saya tidak boleh dipujuk dan saya tidak akan dipaksa untuk mengambil sesuatu yang saya tidak mahu dalam badan saya.

”Saya minta (kerajaan) berikan kami semula keadaan pada tahun 2018. Semudah itu. Saya mahukan kebebasan saya kembali,” kata seorang penunjuk perasaan di luar Parlimen.

New Zealand sedang bergelut melawan wabak varian Delta yang menular tahun ini, memaksa Perdana Menteri Jacinda Ardern beralih daripada strategi penghapusan melalui penutupan kepada hidup bersama virus dengan meningkatkan kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

“Layan kami seperti orang!” jerit penunjuk perasaan lain apabila ditanya mengenai pendirian kerajaan mewajibkan vaksin itu.

“Saya di sini untuk kebebasan. Apa yang kerajaan lakukan adalah anti-kebebasan,” ujarnya.

Bercakap kepada pemberita di dalam Parlimen, Ardern berkata: “Apa yang kita lihat hari ini bukanlah mewakili sebahagian besar rakyat New Zealand,” katanya yang berdepan dengan tekanan politik yang semakin meningkat dan protes awam yang menuntut supaya langkah-langkah membendung pandemik menjelang cuti Krismas dikurangkan.

New Zealand merupakan antara negara yang merekodkan kes Covid-19 terendah di dunia di bawah 8,000 kes setakat ini dan 32 kematian.

Ia melaporkan 125 kes baharu pada hari Selasa dan jumlah kadar vaksin dua dosnya telah mencapai hampir 80% daripada populasi yang layak. – Reuters