Mohamad Hasan

AYER KEROH – Barisan Nasional (BN) akan terus bekerja kuat dalam usaha memastikan parti itu mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, bagi tujuan itu BN akan melakukannya secara serius dan perlu membuat gerak kerja yang tersusun dan teratur dengan stratregi yang baik serta komitmen yang tinggi.

“Insyaallah kita yakin dengan izin Allah S.W.T kita boleh menubuhkan sebuah kerajaan negeri Melaka dengan Barisan Nasional yang baharu selepas PRN ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan manifesto BN untuk PRN Melaka, di sini hari ini.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada BN akan menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRN tersebut, Mohamad yang juga Pengarah BN bagi PRN berkenaan menegaskan, BN terbuka untuk menerima mana-mana parti yang mahu menjadi gabungan sekiranya diberi peluang untuk mentadbir Melaka sekali lagi.

Bagaimanapun katanya, BN perlu menjadi sebuah parti teras terlebih dahulu bagi mengelakkan ada berlakunya ugutan atau ancaman untuk menarik sokongan yang akhirnya akan menyebabkan kerajaan jatuh semula, sekali gus menyusahkan rakyat.

“Jadi, saya harap semua pengundi di Melaka 20 haribulan ini bagilah, pilihlah parti yang telahpun terbukti (keupayaan).

“Kita dah ada track record, kita dah ada kejayaan, orang kata track record yang lama…dan bagi kepada satu parti teras iaitu Barisan Nasiona untuk mentadbir Melaka.

“Kalau ada rakan-rakan yang mahu bersama dengan kita boleh saja…lagi ramai lagi baik. Tapi kita tidak mahu wujud satu keadaan dimana kita tak mahu kerajaan diugut setiap hari, setiap pagi Ketua Menteri di bangun tidur akan memikirkan dia ada lagi majoriti atau tidak..itu tidak baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette