KUALA LUMPUR – Polis telah mengesan empat lelai yang dipercayai boleh membantu siasatan kes bunuh di hadapan restoran kopitiam di Bandar Bukit Tinggi 2 Klang, baru-baru ini.

Lelaki-lelaki tersebut ialah Low Chee Boon dari Kampung Idaman Pelabuhan Klang manakala Yap Chin Hock, Tan Kok Pin dan Lim Chee Hau dari Jenjarom.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima maklumat orang awam mengenai kejadian seorang lelaki bergaduh di hadapan restoran kopitiam pada 12.34 tengah hari, pada 6 November lalu.

Bertindak atas maklumat, polis yelah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki cedera parah pada kedua-dua belah kaki dan tangan.

Mangsa, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat ditetak dengan menggunakan senjata tajam.

“Polis telah menahan enam lelaki yang dipercayai terlibat dan boleh membantu siasatan.

“Mereka ini ditahan reman sehingga 13 November dan polis masih mengesan saki baki suspek-suspek lain,” katanya dalam kenyataan di sini.

Nik Ezanee berkata, polis masih menjalankan siasatan untuk mengetahui punca dan motif mangsa dibunuh.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Mohamad Syahir Zabidi ditalian 012-6650895. – MalaysiaGazette