Calon Parti GERAKAN Rakyat Malaysia DUN N.20 Kota Laksamana, Fong Khai Ling sempena PRN Melaka di Ibu Pejabat Parti GERAKAN Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 7 NOVEMBER 2021.

MELAKA – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, Fong Khai Ling memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya sebelum ini seolah-olah mengajar rakyat di negara ini untuk lolos ke Israel menggunakan pasport Malaysia.

Beliau sebenarnya tidak mempunyai niat untuk mencabar undang-undang apatah lagi mengajar rakyat di negara ini untuk berbuat demikian.

“Saya tiada niat untuk mencabar undang-undang Malaysia yang telah menetapkan negara Israel tidak boleh dilawati oleh rakyat negara ini.

“Saya memahami tiada hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Graduan Kolej Universiti Nilai lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Kewangan itu pernah dihambat kontroversi apabila dikatakan telah memberi tunjuk ajar bagaimana cara untuk rakyat Malaysia lolos ke Israel menggunakan pasport Malaysia.

Calon Gerakan itu juga menegaskan beliau juga tidak berniat untuk mempersendakan pendirian umat Islam terhadap Israel.

“Seperti yang saya nyatakan dalam video yang tersebar, tindakan rakyat Malaysia melakukan lawatan ke Israel adalah menyalahi undang-undang,” katanya lagi.

Sebelum itu, tersebar semula video berdurasi satu minit yang memaparkan perkongsian daripada Khai Ling yang dikatakan secara terang-terang mengajar rakyat di negara ini melanggar undang-undang boleh dijadikan calon pilihan raya oleh PN.- MalaysiaGazette