KUALA LUMPUR, 11 Nov — Bajet 2022 bersifat pengembangan dan merupakan belanjawan luar biasa yang memberi manfaat kepada ramai orang namun terdapat keperluan untuk melakukan lebih banyak lagi bagi menangani perbelanjaan operasi (Opex) yang semakin meningkat selama beberapa tahun ini.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Hezri Adnan berkata Opex meningkat kira-kira 6.3 peratus dengan lonjakan besar bagi perbelanjaan pembangunan kira-kira 21.9 peratus, yang mana langkah itu dialu-alukankan, tetapi apa yang membimbangkan adalah bahagian hasil dijangka meningkat sebanyak enam peratus. .

“Pembiayaan bajet adalah suatu yang mencabar yang mana pada akhir Jun 2021, paras hutang kita mencecah hampir RM960 bilion dan ia boleh mencecah RM1 trilion pada pertengahan tahun depan.

“Jika anda gabungkan emolumen dan pencen yang dibayar kepada penjawat awam ditambah hutang yang kita perlu tanggung yang berjumlah lebih daripada 60 peratus daripada bajet, tidak banyak yang boleh kita lakukan,” katanya pada sesi ‘Sembang Ekonomi: Pasca Bajet 2022: Ke Arah Pemulihan’ secara maya, yang dianjurkan oleh MIER hari ini.

Beliau berkata,  Opex yang semakin meningkat itu merupakan satu isu membimbangkan sambil mengambil contoh tiga peruntukan kepada kementerian iaitu pengajian tinggi, pendidikan dan kesihatan yang gabungan kesemuanya berjumlah RM99.5 bilion atau kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan bajet.

“Tetapi bagi Kementerian Pengajian Tinggi, kira-kira 79 peratus diperuntukkan kepada Opex dan angka itu sangat tinggi dan ini juga sama dengan Kementerian Kesihatan dengan 39 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan dan 54 peratus bagi emolumen.

“Ini adalah antara cabaran yang perlu dihadapi kerajaan bagi tahun-tahun mendatang,” katanya.

Mengenai inisiatif kemampanan, kesinambungan pindahan fiskal ekologikal bagi 2022 yang mana kerajaan memperuntukkan RM70 juta kepada kerajaan negeri atau kira-kira RM5 juta bagi setiap negeri, ia merupakan satu keputusan yang baik untuk melindungi biodiversiti dan meningkatkan usaha pemuliharaan alam sekitar.

Namun katanya, ia masih lagi kabur, memandangkan belum ada lagi sebarang mekanisme yang dikemukakan tentang bagaimana pihak berkuasa negeri boleh mengakses dana ini kerana ia akan terus dimasukkan ke dalam tabung negeri tanpa pembezaan ia adalah bagi tujuan pemuliharaan.

“Sama halnya dengan wang Ces daripada pembalakan kayu yang juga akan terus masuk ke tabung negeri yang mana sepatutnya digunakan bagi penanaman semula dan sekali lagi tiada sebarang pembezaan jelas.

“Ia adalah persoalan tentang pelaksanaan. Bagi memastikan dana ini mencapai sasaran dan hasil seperti yang kita mahukan mekanisme perlu dikemukakan pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette