Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sekali lagi menegaskan larangan penggunaan Ivermectin dalam rawatan Covid-19 dibuat kerana memikirkan aspek keselamatan dan kepentingan rakyat.

Ketika ini, KKM belum mempunyai data lengkap mengenai kesan advers ubat antiparasit yang penggunaannya adalah dikhususkan bagi binatang.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kajian Ivermectin (I-TECH) menunjukkan tiga kali ganda kesan tidak baik berkait cirit-birit.

“Kajian telah menunjukkan tidak ada keberkesanan dan juga kita bimbang, kajian i-TECH menunjukkan tiga kali (ganda) kesan tidak baik dengan cirit-birit selain itu kita tidak tahu kesan lain lagi sebab ubat (ini) memang pengkhususan untuk binatang, kita takut dos atau penyerapan boleh memberi kesan kepada manusia.

“Sebab itu, kajian-kajian yang dilakukan bukan kerana kerajaan tak mahu bagi tapi kita memikirkan tahap keselamatan rakyat, tentang kepentingan rakyat.

“Setakat ini, apa yang dibenarkan, kalau ada pegawai-pegawai perubatan dan doktor yang ingin menggunakan mohon melalui NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) kebenaran menggunakan off label untuk kajian klinikal dengan pemantauan rapi oleh pakar-pakar. Itu sahaja buat ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasah (PH) mengenai keputusan kerajaan menghalang penggunaan Ivermectin secara off label pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.- MalaysiaGazette