Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

AYER KEROH – Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan menubuhkan Perikatan Nasional (PN) untuk melakukan pembaharuan kepada sistem demokrasi negara bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) kini menjadi parti politik yang lemah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perikatan baharu itu hanya menempatkan parti-parti yang tidak ekstrem yang mampu membawa perubahan kepada negara khususnya Melaka.

“Kita perlu membuat perubahan kerana negara kita sudah beberapa kali buat perubahan. Dulu masa selepas Merdeka parti perikatan, berlaku 13 Mei 1969, lepas itu buat BN.

“Dulu kapal layar tubuh perikatan, buat BN pakai simbol dacing, Pas terima simbol dacing, UMNO buat kapal layar. Bila dacing dah lama, ada kelemahan-kelemahan dia, kita pun buat perubahan.

“Pas, Bersatu dan Gerakan di atas simbol PN kita bertanding atas satu simbol. Kita ubah buat PN, satu perikatan baharu mengumpulkan parti-parti yang tidak ekstrem yang boleh bersatu, yang boleh bekerjasama,” katanya pada sidang media dalam Pentas PRN Melaka PN di Shah Alam, malam ini.

Abdul Hadi juga berkata, rakyat Melaka boleh melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini dengan memilih PN bagi mengelakkan berlaku usaha menjatuhkan kerajaan.

“Kita cuba bertanding di Melaka bila ada peluang di Melaka, Pas, Bersatu dan Gerakan di atas simbol PN untuk membolot parti yang ekstrem untuk membuat satu perubahan, pendekatan perikatan baharu.

“Satu pembaharuan mesti dilakukan, kalau rakyat Melaka nak buat pembaharuan, pilih PN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette