KUALA LUMPUR – Sektor elektrikal dan elektronik (E&E) Malaysia mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan global yang meningkat terutamanya untuk pasaran semikonduktor dunia.

Sektor semikonduktor global dijangka berkembang pada kadar 20% (AS$527 bilion) pada tahun 2021 dan bakal bertambah sebanyak 10% pada tahun 2022 (AS$573 bilion), berdasarkan data daripada Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia.

Perkembangan dinamik ini memberi peluang yang baik kepada Malaysia untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam fasa pemulihan ekonomi yang menjadi agenda tahun 2022.

Sektor E&E menyumbang sebanyak RM386 bilion iaitu 39.4% kepada jumlah eksport negara.

Dalam 6 bulan pertama 2021, jumlah eksport E&E meningkat sebanyak 28% berbanding tahun lalu.

Malaysia diiktiraf sebagai pengeluar utama semikonduktor dalam rantaian global E&E. 7% daripada perdagangan semikonduktor dunia mengalir melalui Malaysia.

Justeru, inisiatif pemulihan ekonomi negara dalam sektor E&E perlu dilipatganda untuk membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk memenuhi pemintaan E&E global.

Dalam usaha ini, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) selaku Sekretariat telah melaksanakan sesi libat urus dengan pemain industri E&E melalui Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) untuk melonjakkan kebolehupayaan Malaysia memenuhi permintaan E&E dunia.

Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, negara perlu merebut peluang daripada permintaan tinggi global untuk produk E&E.

Produktiviti pengeluaran dan pembuatan harus dipertingkatkan untuk memenuhi keperluan dan memperkukuhkan kedudukan global Malaysia sebagai pengeluar produk E&E utama.

Maklum balas daripada industri amat penting untuk mengenalpasti cabaran yang dihadapi oleh pemain industri yang mengekang operasi perniagaan.

Libat urus dengan industri juga memperincikan jalan penyelesaian untuk menangani cabaran yang dikenalpasti dan sama ada campur tangan kerajaan adalah perlu untuk melaksanakannya.”

Katanya, antara cabaran kritikal yang dihadapi oleh sektor E&E ialah dalam pengambilan dan penggajian pekerja.

Sektor E&E mengalami pengurangan pengambilan pekerja baharu pada kadar 70% dalam tempoh tiga bulan terkini dan situasi ini merencatkan operasi perniagaan.

Kenyataan ini disokong oleh Datuk Seri Wong Siew Hai, Presiden MSIA, yang juga Pengerusi Bersama Kumpulan Kerja Teknikal Pengambilan Pekerja (Technical Working Group on Employing Worker – TWGEW) PEMUDAH yang berkata, industri ini memerlukan sekurang-kurangnya 14,000 pekerja tempatan dan asing, 2,400 jurutera, 1,600 kakitangan sokongan, dan 450 ekspatriat untuk memenuhi keperluan tenaga kerja sektor E&E.

Keperluan sumber manusia ini disebabkan oleh pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pengembangan operasi perniagaan.

Industri dan negara akan kehilangan peluang untuk menjana ekonomi dan pendapatan jika kekangan tenaga kerja ini tidak ditangani.

Dalam menyuarakan cadangan penyelesaian, Wong berkata, antara cadangan penyelesaian ialah penubuhan kampus industri untuk membangunkan bakat dalam penghasilan produk baharu dan pemindahan teknologi yang pesat.

Ini akan menarik lebih ramai pekerja tempatan dari luar lokasi kilang kerana isu-isu berkaitan penempatan semula dapat dikurangkan. Inisiatif perintis cadangan ini boleh dilaksanakan dengan kerjasama ahli-ahli MSIA.

Penyelesaian tangkas dalam menangani isu kekurangan pekerja ini juga memerlukan campur tangan kerajaan. Industri memerlukan pemudahcaraan dalam pematuhan peraturan Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja untuk memudahkan urusan pengambilan pekerja asing.
Kadar pengambilan pekerja asing yang berdaftar sehingga kini hanya 7.5% berbanding sasaran yang dalam RMKe-12 (2021-2025) pada kadar 15%.

Justeru, ruang dan peluang masih terbuka untuk membawa masuk pekerja asing bagi meningkatkan produktiviti sektor E&E. – MalaysiaGazette