Keadaan masjid di Spin Ghar selepas diletupkan . foto anews.com

KABUL – Letupan berlaku di dalam sebuah masjid di daerah Spin Ghar di wilayah Nangarhar, timur Afghanistan mencederakan sekurang-kurangnya 15 orang termasuk imam masjid itu, kata penduduk tempatan.

Atal Shinwari, seorang penduduk kawasan itu berkata letupan tersebut berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila bahan letupan yang diletakkan di bahagian dalam masjid itu meletup.

Seorang pegawai Taliban yang enggan dikenali mengesahkan letupan itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Setakat ini belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam siri letupan terbaharu yang melanda masjid di Afghanistan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kejadian letupan demi letupan itu menjejaskan ikrar Taliban untuk memulihkan keselamatan selepas berdekad-dekad berperang.

Difahamkan masjid itu digunakan oleh umat Islam berfahaman Sunni.

Sebelum ini beberapa serangan membabitkan masjid yang dikunjungi oleh penganut Syiah.

Shinwari berkata, sekurang-kurangnya 15 cedera termasuk imam masjid.

Tiga lagi mangsa dilaporkan cedera parah. – Reuters