Izzuddin Abd. Mutalib

KUANTAN – Sebanyak 5,279 permohonan kebenaran berkahwin di daerah ini telah diterima oleh Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuantan sejak awal tahun ini sehingga bulan ini.

Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Daerah Kuantan, Izzuddin Abd. Mutalib berkata, rekod itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu yang mencatatkan 6,000 permohonan kebenaran.

Permohonan melibatkan kebenaran berkahwin dalam Kuantan, dalam negeri Pahang dan luar negeri Pahang.

Tambahnya, ramai pasangan mengambil peluang untuk mendirikan rumah tangga semasa pandemik sejak Mac tahun lalu berikutan penjimatan perbelanjaan kos kahwin.

“Sebanyak 2,003 pendaftaran perkahwinan direkodkan sehingga November ini, berbanding tahun 2,020 pula sebanyak 2,900 pendaftaran.

“Purata setiap sebulan 450 permohonan kebenaran berkahwin manakala 100 pendaftaran perkahwinan  direkodkan di PAID Kuantan pada tahun ini.

Katanya, PAID berperanan bagi memudahkan urusan pasangan meskipun kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan semua urusan melalui temujanji secara atas talian.

Jelasnya hikmah perkahwinan semasa musim PKP sehingga fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mencerminkan Islam memudahkan umatnya, selain majlis yang diadakan tidak melibatkan belanja yang besar.

“Ini kerana Ibu bapa dan pasangan semakin memahami bab perkahwinan, yang wajib itu merupakan akad nikah dan yang sunat itu majlis.

“Proses kahwin itu tidak susah mana, yang penting dokumen cukup. Selain daripada wali, ramai pasangan memilih tarikh yang cantik untuk bernikah.

Tambahnya, prosedur operasi standard (SOP) masih kekalkan seperti sedia ada, yang mana majlis akad nikah hanya dibenarkan di masjid daerah dan negeri serta pejabat agama Islam daerah sahaja.

“Masyarakat masih keliru antara majlis  akad nikah dan majlis kahwin. Majlis nikah di bawah bidang kuasa agama tertakluk kepada negeri, manakala kenduri melibatkan majlis sosial di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehingga kini kebenaran melakukan akad nikah di rumah masih belum dibolehkan di Pahang.

“Kebenaran mengadakan majlis kenduri kahwin dan majlis akad nikah ini juga sedikit sebanyak dapat membantu pengusaha butik pengantin dan jurugambar, kerana mereka juga terkesan dan terjejas pendapatan. – MalaysiaGazette