Annuar ketika berucap pada Program Penyerahan Komouter Riba untuk jentera BN pada PRN Melaka di Macahap Jaya di Melaka hari ini.

MACHAP JAYA – Barisan Nasional (BN) tidak akan menyerang parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan cara tembak menembak atau kutuk mengutuk.

Ketua UMNO Bahagian Keterah, Tan Sri Annuar Musa berkata, BN dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing bertanding atas kapasiti sendiri kerana merupakan norma baharu politik yang realitinya harus didukung semua.

“Tidak ada permanent enemy and friend dalam politik (Malaysia ketika ini). Kita tak boleh ambil pendekatan kerana bertanding (sesama sendiri) kita berpatah arang berkerat rotan (memutuskan hubungan).

“Parti-parti peringkat Persekutuan akan terus bersama (dengan kerajaan semasa).

“Pasa masa yang sama, ia tidak menghalang mana-mana parti untuk menyertai pilihan raya negeri. Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga kita dukung bersama untuk mereka bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak), begitu juga di sini (PRN Melaka),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penyerahan komputer riba kepada jentera BN pada PRN Melaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya di sini hari ini.

Sementara itu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, pihaknya mempunyai pasukan yang akan menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan luar bandar sepanjang kempen PRN Melaka berlangsung .

Walaupun di Melaka capaian itu sudah mencapai lebih 20 megabit persaat tetapi dengan adanya jentera kempen dari luar datang dan mereka juga menggunakan internet yang sama dan kemungkinan daripada  segi kekuatan capaian itu menjadi semakin berkurangan.

Beliau menjelaskan, sebelum pengumuman pilihan raya, kementeriannya telah membuat semakan berhubung perkara itu dan secara keseluruhannya berada dalam keadaan baik.

“Kapasiti itu bila dikongsi terlalu ramai dan serentak ia mungkin jadi lemah kerana megabitnya hanya mungkin jadi hanya satu atau dua sahaja,” ujarnya.

Justeru Annuar berkata, mana-mana calon yang merasakan capaian internet di kawasan mereka kurang ia boleh diajukan kepada kementerian agar tindakan boleh diambil untuk diselesaikan. – MalaysiaGazette