Majlis Penlancaran Program Pemerkasaan bagi penjenamaan Skuad Uniti kepada Skuad Uniti RT Cares di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Bentong hari ini

BENTONG – Sebanyak 125 Skuad Uniti RT Cares telah ditubuhkan di negara ini di peringkat komuniti Rukun Tetangga dan merupakan pelengkap kepada fungsi Rukun Tetangga dalam meningkatkan keselamatan dan kesejahteraan komuniti.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, skuad tersebut adalah inisiatif kementeriannya dalam memperkasa dan memperkukuhkan lagi fungsi serta peranan Skuad Uniti sedia ada dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti.

Jelas beliau, pihaknya mengesyorkan skop perkhidmatan sedia ada diperluaskan di bawah Program Komuniti Sejahtera RT Cares dengan penjenamaan Skuad Uniti kepada Skuad Uniti RT Cares.

“Penjenamaan baharu ini melibatkan peranan Skuad Uniti dalam mempertingkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup komuniti Rukun Tetangga yang terjejas dengan pandemik Covid-19 melalui agihan kotak makanan dan bantuan kebajikan kesihatan Ziarah Perpaduan.

“Skuad ini bertindak sebagai suatu gerakan sosial di peringkat akar umbi yang melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum yang bertindak sebagai agen pemangkin perkhidmatan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan.

Gimik penyerahan agihan kotak makanan dan Ziarah Perpaduan pada Program Pemerkasaan Skuad Uniti RT Cares di Bentong

Skuad Uniti juga merupakan pasukan pertama yang menerima, menyampaikan maklumat dan membantu mangsa serta golongan sasaran ketika berlaku kecemasan di peringkat komuniti (Social First Aid).

Justeru katanya, penubuhan badan tersebut secara tidak langsung dapat memperkasakan lagi Rukun Tetangga sebagai sebuah institusi sosial di peringkat akar umbi.

“Ianya dapat meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup komuniti Rukun Tetangga yang terjejas dengan pandemik Covid-19 melalui agihan kotak makanan dan Ziarah Perpaduan,” katanya.

Terdahulu, Skuad Uniti telah dilancarkan oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak pada 9 Mac 2014 bersempena dengan Program Penyatuan Nasional di Perumahan Awam Seri Melaka di Cheras. – MalaysiaGazette