Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rnaught yang berdasarkan kepada jangkaan mengikut kes seharian untuk seluruh negara pada hari ini adalah 1.05 berbanding 1.04 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Putrajaya mencatatkan bacaan Rt tertinggi semalam iaitu 1.20 berbanding 1.17 kelmarin.

“Kadar kebolehjangkitan untuk Kuala Lumpur turun daripada 1.06 kelmarin kepada 1.05 semalam.

“Selangor turut kekal dengan bacaan kadar Rt sebanyak 1.04 semalam, diikuti Negeri Sembilan kekal paras 1.03 manakala Pahang turun kepada 1.01 dan Kelantan 1.00,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Johor menunjukkan kenaikan Rt pada hari ini dengan bacaan 0.95 berbanding 0.98 semalam manakala Sabah, Perlis dan Melaka masing-masing merekodkan Rt 0.97 dan Kedah kekal pada 0.96.

“Namun Pulau Pinang menunjukkan kenaikan Rt iaitu 0.94 berbanding 0.91 pada Jumaat diikuti Terengganu turut naik kepada 0.93 dan Perak 0.92.

“Hanya Sarawak kekal nilai Rt pada kadar 0.87 manakala WP Labuan terus konsisten dengan nilai Rt sifar sehingga kini,” ujarnya. – MalaysiaGazette