Anggota keluarga banduan menunggu di luar penjara. foto Getty Images

QUITO – Sekurang-kurangnya 68 banduan terbunuh dalam pertempuran baharu di penjara Ecuador selepas lebih 100 banduan maut dalam pertelingkahan antara kumpulan saingan pada September lalu.

Rusuhan di Penjara Litoral di bandar Guayaquil dilaporkan bermula pada petang Jumaat.

Menurut laporan, unit taktikal polis yang telah memasuki bangunan penjara telah menemui senjata api dan bahan letupan.

Hampir 300 banduan telah meninggal dunia pada tahun 2021 di penjara negara ini.

Keganasan berkaitan kumpulan September adalah yang paling teruk dalam sejarah Ecuador.

Kejadian terbaharu berlaku apabila banduan dari satu sayap penjara merangkak melalui lubang untuk mendapatkan akses ke sayap yang berbeza, yang mana mereka menyerang ahli kumpulan saingan.

Beratus-ratus pegawai dan askar tentera dikerahkan untuk menguasai semula kompleks itu.

Pergaduhan maut itu menyaksikan beberapa banduan dipenggal kepala, membuktikan pengaruh geng jenayah rentas negara yang semakin meningkat di Ecuador seperti kartel Sinaloa dan Jalisco New Generation yang berpangkalan di Mexico.

Pergaduhan terbaharu itu juga menyebabkan 25 orang cedera dan berikutan pertempuran bersenjata yang lebih kecil awal bulan ini, tiga banduan ditembak mati.

Awal bulan ini dalam temu bual BBC, Presiden Guillermo Lasso menegaskan kerajaannya sedang mendapatkan semula kawalan bukan sahaja penjara tetapi juga kawasan Ecuador lokasi pengedar dadah bertapak.

Beliau menuduh kerajaan terdahulu bersikap “pasif” mengenai pengedaran dadah.

Disebabkan itu, peningkatan penggunaan dadah di negara ini akan mengambil masa “lebih sedekad” untuk ditangani.

Lasso menambah, Ecuador memerlukan sokongan antarabangsa daripada negara jiran Colombia, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk mengukuhkan angkatan tentera dan polisnya untuk memerangi pengaruh kumpulan jenayah yang semakin meningkat.

Penjara Ecuador kini menampung kira-kira 9,000 lebih banduan, lebih tinggi berbanding kapasiti sebenar.

Contohnya Penjara Litoral dibangunkan untuk 5,300 banduan tetapi kini mempunyai 8,500 banduan. – BBC