KUALA LUMPUR – 11.11 Jualan Hebat Shopee menyaksikan lonjakan pesanan yang diterima oleh penjual-penjual tempatan dengan lebih 2 bilion barangan telah dibeli sepanjang tempoh festival ini,

Angka itu memecahkan rekod Shopee yang dicapai pada tahun 2020 sebelum ini.

Shopee berkata, memandangkan rakyat Malaysia kini meneruskan aktiviti di luar rumah, barangan kesihatan dan penjagaan diri seperti pelitup muka terus menjadi salah satu produk yang paling popular dibeli.

Produk ini mencatat jualan lebih 13 juta keping, manakala kit ujian Covid-19 menyaksikan hampir 30,000 unit dijual pada 11 November.

Selain itu, pengguna Shopee di Malaysia mendapatkan stok barangan runcit seperti Milo, bijirin, mi segera, buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

Ketua Pegawai Operasi Shopee, Terence Pang berkata, 11.11 Jualan Hebat telah menggalakkan lebih ramai orang mengakses dan menikmati manfaat membeli-belah atas talian, terutamanya di luar bandar yang mana tahap kesedaran digital lebih rendah.

Di seluruh rantau, jumlah pembeli dari luar bandar dan bandar-bandar kecil menyaksikan peningkatan sebanyak lima kali ganda berbanding hari biasa manakala jumlah transaksi ShopeePay di luar bandar meningkat sembilan kali ganda berbanding hari biasa, dengan para pengguna melakukan pembayaran untuk pesanan mereka di Shopee dengan lancar.

Bagi perniagaan-perniagaan di rantau ini, 11.11 Jualan Hebat merupakan batu loncatan untuk mendorong pertumbuhan dan pemulihan, yang mana penjual-penjual tempatan mendapat manfaat daripada lonjakan dalam aktiviti membeli-belah.

Pang berkata, peniaga-peniaga yang menyertai 11.11 buat kali pertama menyaksikan pesanan mereka pada 11 November melonjak 18 kali ganda berbanding hari biasa. – MalaysiaGazette