Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (tengah) melihat pingat emas Olimpik yang dirangkul dari jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz (kanan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika hadir melawat ke Garage Kesang, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 15 NOVEMBER 2021.

JASIN – Ketelitian dan kesabaran yang ditunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerajui pentadbiran negara sebelum ini dijangka mampu menarik minat pengundi untuk memilih Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kecekapan Muhyiddin menguruskan pelbagai krisis negara ketika berdepan pandemik Covid-19 membuktikan PN layak untuk mentadbir Melaka.

“Saya percaya rakyat mahukan kerajaan yang stabil, boleh dapat tunjuk ajar dan nasihat daripada Tan Sri Muhyiddin yang telah banyak berjasa kepada kita sewaktu menghadapi pandemik Covid-19.

“Beliau telah menunjukkan ketelitian dan kesabarannya.

“Saya percaya ini menarik minat rakyat Melaka untuk bersama dengan PN,” katanya pada sidang media di Kampung Kesang, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, walaupun  tidak menafikan kehebatan parti-parti lawan seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), beliau percaya rakyat akan memilih parti yang mampu membawa kestabilan negara.

“Saya percaya rakyat mahukan kestabilan melalui PN yang sedang memerintah dalam Kerajaan Persekutuan

“Kalau kita lihat dalam Kabinet, majoriti menteri dalam kalangan Bersatu dan Pas walaupun ia dipimpin oleh seorang pemimpin BN.

“Tetapi kesepaduan yang telah kita ada di peringkat Persekutuan ini saya kira elok diterjemahkan di peringkat Melaka melalui sokongan kepada kerajaan PN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette