KUALA LUMPUR – Kemenangan 2-1 bertemu Sarawak United FC dengan bekalan tipis satu gol untuk dibawa ke suku akhir kedua tidak membuatkan pengendalinya, Nafuzi Zain, tersenyum selain menghormati keupayaan lawan di bawah kendalian E. Elavarasan.

Tambah Nafuzi, suku akhir kedua di Stadium UiTM Shah Alam pada Khamis ini masih terbuka memandangkan Sarawak juga mempunyai satu gol di tempat lawan.

Namun secara keseluruhan beliau sangat berpuas hati dengan persembahan pemain terutama beberapa pemain muda yang berjaya menangani tekanan sepanjang 90 minit di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Saya sudah jangkakan terhadap cara dan masalah yang kita hadapi bagi berdepan lawan seperti Sarawak tetapi bagi saya kedua-dua pasukan bermain bola sepak dengan baik selain mencipta banyak peluang.

“Di akhirnya, kita menang 2-1 dan sangat berpuas hati malah ada pemain-pemain baharu yang jarang beraksi di Liga Super, mampu menyerap tekanan dalam perlawanan besar sebegini.

“Sarawak masih mempunyai peluang di pertemuan kedua kerana kedudukan 1-2 bukan satu keputusan yang selesa kepada kami selain faktor jaringan di tempat lawan, ” katanya.

Dalam perlawanan itu, Faisal Abdul Halim membuka tirai jaringan pada minit ke-17 sebelum disamakan Sarawak melalui gol sendiri oleh pertahanan, Shahrul Nizam Ros Hasni, lima minit kemudian.

Bagaimanapun, Faiz Nasir muncul wira Terengganu dengan gol kemenangan pada minit 51 untuk memastikan skuad Penyu menjadi pilihan untuk layak ke separuh akhir.

Aksi Faiz turut mendapat pujian Nafuzi sambil menyifatkan pemain berusia 29 tahun itu menampilkan antara prestasi paling cemerlang sepanjang kempen TM Piala Malaysia 2021.

“Bagi saya, persembahan Faiz adalah yang terbaik di Piala Malaysia, saya harap dia boleh terus kekalkan persembahan sebegitu dalam perlawanan yang besar.

“Faiz ini seorang pemain yang ada keyakinan tinggi walaupun badannya kecil namun hati besar, kalau boleh saya hendak 25 pemain lain seperti dia, ” katanya.

Sementara itu, Elavarasan mengakui ketiadaan perancang utama, Sandro da Silva yang cedera pada separuh masa kedua memberi kesan kepada persembahan Sarawak United untuk menambah jaringan.

Beliau mengharapkan mampu memperbaiki sebarang kelemahan yang terdapat dalam pasukan menjelang suku akhir kedua walaupun di atas kertas tampak Terengganu Fc mempunyai kelebihan.

“Kita ada masalah di separuh masa kedua apabila Sandro dikeluarkan, momentum kita untuk melakukan serangan sudah berkurangan dan lebih kepada untuk bertahan.

“Sememangnya kami tak hendak bolos lagi di separuh masa kedua terutama pada 15-20 minit terakhir dan itu taktikal kami menjelang penghujung perlawanan.

“Secara keseluruhan, Terengganu FC nampak lebih tersusun namun dalam 90 minit seterusnya, apa-apa boleh terjadi dan dalam tempoh dua ke tiga hari ini, saya akan cuba lakukan perubahan, ” katanya. – MalaysiaGazette