Foto hiasan

ALOR GAJAH – Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu dari Pakatan Harapan (PH) Muhammad Asri Ibrahim hari ini membuat laporan polis kerana mendakwa ejen tempat mengundi yang mewakilinya tidak dibenarkan masuk ke Pusat Pengundian Awal (PPA) di Balai Polis Masjid Tanah di sini.

Muhammad Asri, 35, berkata larangan itu dikeluarkan Ketua Tempat Mengundi berkenaan sebelum pukul 8 pagi tadi, selepas ejennya dikatakan tidak membawa dokumen mencukupi termasuk surat lantikan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau mendakwa tindakan itu menyebabkan wakil calon beliau terlewat memasuki pusat pengundian berkenaan, iaitu kira-kira dua jam selepas proses pengundian awal bermula.

Muhammad Asri berkata demikian kepada Bernama selepas membuat laporan itu di Balai Polis Masjid Tanah di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan larangan itu, wakil beliau terpaksa mendapatkan watikah lantikan daripada SPR di Pejabat SPR Alor Gajah sehingga menyebabkan kelewatan ejen beliau memasuki pusat pengundian.

Katanya laporan polis itu dibuat pada pukul 10.41 pagi tadi kerana berpendapat haknya sebagai calon Pilihan Raya Melaka yang bertanding di DUN Lendu, dinafikan.

Muhammad Asri berkata laporan berkenaan juga dibuat untuk menjaga kepentingan beliau sebagai calon sah dan meminta polis membuat siasatan segera agar keadilan dapat ditegakkan.

— BERNAMA