Gambar hiasan

SINGAPURA – Harga minyak susut pada hari Selasa apabila lantunan semula dalam kes Covid-19 di Eropah menimbulkan kebimbangan terhadap permintaan di tengah-tengah jangkaan bahawa bekalan akan meningkat, selain sesetengah dalam pasaran masih bimbang Amerika Syarikat (AS) mungkin mengeluarkan rizab minyak mentah untuk menghentikan kenaikan harga petrol.

Niaga hadapan Brent turun AS$0.09 atau 0.1%, kepada AS$81.96 setong, setakat 0105 GMT, manakala minyak mentah Amerika Syarikat West Texas Intermediate (WTI) susut AS$0.10 atau 0.1%, kepada AS$80.78 setong.

Eropah sekali lagi menjadi pusat pandemik Covid-19, mendorong beberapa kerajaan untuk mempertimbangkan mengenakan semula sekatan, sementara China sedang memerangi penyebaran wabak terbesarnya yang disebabkan oleh varian Delta.

“Minyak mentah jatuh apabila Presiden Biden menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk memanfaatkan rizab AS. bagi meredakan kenaikan harga petrol.

“Sentimen berlaku susulan peraturan baharu bagi perjalanan di Eropah,” menurut nota penyelidikan ANZ.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) minggu lalu mengurangkan unjuran permintaan minyak dunia bagi suku keempat sebanyak 330,000 tong sehari daripada unjuran bulan lalu kerana harga tenaga yang tinggi menghalang pemulihan ekonomi daripada pandemik Covid-19.

Kebimbangan permintaan menurun muncul disebabkan bekalan dijangka meningkat.

Minggu lalu, firma tenaga AS menambah pelantar minyak dan gas asli untuk minggu ketiga berturut-turut, dipacu oleh kenaikan 65% dalam harga minyak mentah AS setakat tahun ini.

Pengeluaran syal AS pada Disember ini dijangka mencapai tahap pra-pandemi sebanyak 8.68 juta tong sehari, menurut Rystad Energy. – Reuters