Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) bersama Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (dua kiri) serta calon Perikatan Nasional N.22 Bandar Hilir, Clarice Chan Ming Wang (kanan) dan calon Perikatan Nasional N.19 Kesidang, Patrick Ng Chin Kae (kiri) beramah mesra bersama peniaga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika melawat ke Bazar Ole-Ole, Bandar Hilir, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 16 NOVEMBER 2021.

HANG TUAH JAYA – Langkah Perikatan Nasional (PN) menggunakan poster yang tertera gambar pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk meyakinkan pengundi khususnya golongan muda.

Ini kerana, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai dukungan yang boleh diwarisi oleh anak muda untuk menerajui kepimpinan negara pada masa depan, kata Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, tidak timbul isu kurang keyakinan terhadap calon yang bertanding sebaliknya dalam norma baharu ketika ini agak sukar untuk calon PN mengenengahkan diri masing-masing kepada pengundi.

“Bukan kita tak yakin, namun dalam normal baharu ini agak sukar untuk calon-calon turun ke bawah dan mengadakan program untuk bertemu dengan pengundi kerana SOP yang ditetapkan SPR dan KKM ketat.

“Kita memahami ini adalah demi menjaga dan melindungi kesihatan,” katanya sebagai menjawab pertanyaan mengenai kempen PN yang menggunakan gambar Muhyiddin pada kebanyakan poster yang dipasang pada PRN Melaka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa program walkabout bertemu peniaga dan pengunjung di Bazar Ole-Ole Melaka hari ini.

Mohamed Azmin berkata, meletakkan gambar Ahli Parlimen Pagoh itu juga merupakan strategi memperlihatkan Muhyiddin sebagai seorang yang telah membawa kepada pelbagai kejayaan ketika negara berdepan pandemik yang belum pernah dialami sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau ketika menjawab pertanyaan berkaitan penerimaan pengundi ketika berkempen pada PRN tersebut, beliau melihat perkembangan positif serta menerima maklum balas yang amat meyakinkan.

Ujartnya, tokoh-tokoh muda yang diketengah oleh PN mampu membawa kepada agenda perbuahan dan ia merupakan sesuatu yang dimahukan oleh rakyat dan pengundi.

“Satu perubahan yang benar-benar bertanggungjawab, beri fokus kepada pemulihan ekonomi negara dan ini terbukti melalui dasar dan agenda PN,” tambahnya. – MalaysiaGazette