Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar kenangan dengan barisan pelabur pada Program Pertemuan Bersama Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) dan Dialog Pemulihan Negara di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ekonomi digital, kesihatan awam, perubatan, kelestarian alam sekitar, pertahanan dan keselamatan merupakan sektor yang perlu dibangunkan supaya membantu menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor-sektor berkenaan berpotensi dijadikan sebahagian daripada rantaian bekalan global untuk negara ini.

Jelas beliau, daripada langkah itu, Malaysia akan mampu membina semula kekuatan ekonomi dan melonjakkan ekonomi negara menjadi lebih baik daripada sebelum pandemik Covid-19.

“Saya yakin dan percaya dalam kita bergerak ke hadapan, saya melihat lebih banyak ruang dan peluang untuk syarikat-syarikat daripada negara seperti UK (United Kingdom) untuk masuk melabur ke Malaysia bukan sahaja dalam sektor-sektor yang sudah dipelopori tetapi juga sektor-sektor strategik yang baharu,” katanya ketika sidang media selepas program Pertemuan Bersama British Malaysia Chamber of Commerce (Roundtable Meeting) dan Dialog Pemulihan Negara di sini hari ini.

Menurut Muhyiddin, ramai wakil daripada syarikat-syarikat besar dari UK yang hadir dalam pertemuan berkenaan.

Ujarnya, ia membuktikan para  pelabur berminat untuk mengetahui perkembangan proses pemulihan negara, dan yakin prospek ekonomi Malaysia adalah cerah.

 “Perbincangan seperti ini amat penting untuk kerajaan terutamanya untuk MPN yang dipengerusikan oleh saya sendiri dalam mendengar buah fikiran dan bertukar pendapat dengan pemain-pemain industri daripada syarikat antarabangsa yang telah melabur di Malaysia dalam pelbagai sektor termasuk sektor pembuatan, perkilangan, petroleum, pertahanan, kewangan dan kesihatan,” tambahnya.

 Menurut Muhyiddin, pelaburan dari dalam dan luar negara khususnya penting dalam memastikan strategi yang disusun MPN akan berjaya dilaksanakan.

Mengulas lanjut beliau berkata, wakil-wakil syarikat dari UK sebagai pelabur hari ini telah menyuarakan beberapa cadangan melibatkan proses dan prosedur masuk ke negara, bantuan kos-kos perniagaan dari kerajaan Malaysia dan permohonan proses pengambilan pegawai dagang industri Minyak dan Gas dipercepatkan.

Muhyiddin dalam masa yang sama memberi jaminan cadangan-cadangan berkenaan akan diketengahkan di MPN kelak.

“Banyak perkara telah dikemukakan kepada saya, saya telah meminta supaya British Malaysia Chamber of Commerce kemukakan satu laporan dengan cadangan-cadangan nanti saya berikan ruang mereka bentangkan di MPN mungkin ada perkara-perkara yang kita akan beri perhatian dan cuba laksanakan,” katanya.-MalaysiaGazette