Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin beramah mesra bersama penduduk setempat semasa hadir makan tengahari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Medan Selera Pasar Menggong, Alor Gajah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2021.

ALOR GAJAH – Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon Ketua Menteri Melaka mereka esok.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin telah bertemu pengerusi gabungan parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan berkenaan pemilihan calon yang sesuai.

“Saya sebagai setiausaha agung juga telah memberikan pandangan saya untuk kita memilih seorang calon, biarlah calon itu dapat diterima oleh masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di Medan Selera Menggong di sini bersama calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Zamzuri Arifin.

Beliau turut menjelaskan terdapat kemungkinan calon terbabit adalah seorang wanita.

Namun, jika kepimpinan tidak memilih calon daripada kalangan kaum wanita, parti itu katanya mempunyai calon-calon lain yang pernah berkhidmat dengan cemerlang di Melaka.

Tambahan pula katanya, PN juga mempunyai calon-calon daripada kalangan profesional.

“Kita juga ada beberapa doktor, jurutera. Jadi ini akan kita bincangkan,” jelas Hamzah.

Untuk rekod, PN masih belum mengumumkan calon Ketua Menteri daripada gabungan parti itu sekiranya memenangi mandat rakyat dalam PRN Melaka 20 November nanti.

Barisan Nasional (BN) menamakan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menterinya, manakala Pakatan Harapan (PH) pula menamakan semula bekas Ketua Menteri yang juga calon DUN Bukit Katil, Adly Zahari.- MalaysiaGazette