Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama calon Perikatan Nasional N.06 Rembia, Zamzuri Arifin (dua kiri) beramah mesra bersama peniaga semasa hadir makan tengahari pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Medan Selera Pasar Menggong, Alor Gajah, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2021.

ALOR GAJAH – Demi mengembalikan ‘kemasyhuran’ negeri Melaka, pemimpin yang bakal diberi mandat oleh rakyatnya mestilah dalam kalangan mereka berintegriti.

“Hendak mengembalikan itu (kemasyhuran), kita terpaksa mencari seorang pemimpin yang benar-benar penuh dengan integriti,” kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika ditemui di Alor Gajah hari ini.

Beliau yakin pemimpin yang diperlukan itu adalah dari kalangan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas makan tengah hari di Medan Selera Menggong, di sini bersama calon PN DUN Rembia, Zamzuri Arifin hari ini.

Tambah Hamzah, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, rakyat Melaka boleh membuat perubahan yang akan memberi kesan kepada lanskap politik negara sekiranya memberi peluang kepada PN.

“Insya-Allah, game changer politik ini nanti bukan sahaja untuk Melaka tetapi untuk keseluruhan negara kita,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).- MalaysiaGazette