Dari kiri Chavda Narendrakumar (berkemeja coklat) dan Kansara Sanjay (dua dari kanan) dan Patel Gaurangkumar dibawa untuk pentuduhan cuba merasuah anggota polis di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Seorang bekas pengurus dan dua bekas jurutera warga India dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas pertuduhan cuba memberi rasuah sebanyak RM2,922 kepada seorang anggota polis Balai Sentral pada bulan lalu.

Kansara Sanjay, 42, yang merupakan bekas Pengurus Kanan, Chavda Narendrakumar Rajitsinh, 35, dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 32, yang kedua-duanya merupakan bekas jurutera, mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamil Arifin Ismail.

Bagaimanapun, Ahmad Kamil memerintahkan ketiga-tiga mereka yang sebelum ini bekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Puteri supaya melantik seorang jurubahasa dalam bahasa ibunda mereka.

Ini kerana Ahmad Kamil ragu-ragu sama ada ketiga-tiga tertuduh benar-benar faham dengan pertuduhan yang dibacakan termasuk hukuman yang akan dikenakan.

Sehubungan itu mahkamah menetapkan kes tersebut disebut semula pada 22 Disember ini.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh cuba memberikan suapan wang tunai sebanyak RM2,922 kepada Lans Koperal Shahronizam Suhai di Balai Polis Johor Bahru Sentral, Jalan Meldrum, di sini, pada jam 10.16 malam 3 September lalu.

Suapan itu bagi mendorong anggota polis berkenaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas ketiga-tiga tertuduh kerana berhimpun dalam sebuah premis yang mana ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) dan Seksyen 24(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, peguam bagi ketiga-tiga tertuduh, A P Bharathi memohon supaya jaminan yang menimum dikenakan kerana mereka sudah diberhentikan kerja pada 24 September lalu selain masing-masing mempunyai tanggungan isteri dan anak.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 seorang dan dua penjamin warga negara untuk setiap seorang selain mengarahkan pasport diserahkan dan melapor di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Johor Bahru pada setiap bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikhwan Ihsan Jalaludin. – MalaysiaGazette