Pelajar sekolah kebangsaan, Nur Iman Azzalea Mohd Fairus bersama adiknya, Nur Irdina Amni Mohd Fairus (kanan) mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan sekolah yang diarah tutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Apartment Lakeview, Batu Caves, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Ramai cikgu mengadu beban tugas mereka telah bertambah dalam tempoh pandemik.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Aminuddin Awang berkata, semasa penutupan sekolah, para cikgu masih bertugas seperti biasa termasuk menyiapkan laporan dan menyusun program pembelajaran.

Beliau berkata, para guru mahu menyampai ilmu secara paling berkesan melalui kaedah dalam talian.

“Pembelajaran secara dalam talian mengkehendaki cikgu menghabiskan lebih banyak masa untuk menyediakan bahan untuk memastikan tiada murid yang tercicir,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, pembukaan semula sekolah tidak bermakna beban cikgu akan berkurangan kerana mereka memerlukan masa untuk membantu pelajar yang ketinggalan dalam pelajaran.

“Jangan lupa cikgu juga perlu menjaga keluarga masing-masing termasuk meluangkan masa dengan ahli keluarga,” katanya.

Sementara itu, Profesor Bersekutu Psikiatri, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Ng Chong Guan berkata, beliau menerima banyak kes melibatkan cikgu yang memerlukan bantuan.

“Dalam sesetengah kes, cikgu mengadu menghabiskan masa yang panjang untuk mengendalikan sistem komputer sehingga mereka berasa tertekan

“Ada juga yang bimbang tidak dapat mengajar secara baik atau khuatir murid tidak dapat mengikuti pelajaran,” katanya. – MalaysiaGazette