Seorang lelaki maut dihempap lori pasir di Kapar, Klang. Gambar Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui maut dihempap sebuah lori yang membawa muatan pasir di Jalan Kiyai Sujak, Taman Sri Wangi, Kapar, Klang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya yang menerima panggilan mengenai itu pada jam 2.24 petang mengerahkan jentera pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Kapar ke lokasi kemalangan.

Katanya, pasukan yang diketuai oleh Komander Operasi Siva Palaramachandran mendapati kemalangan itu melibatkan sebuah lori muatan pasir telah terbalik dan menghempap seorang mangsa yang merupakan pekerja pembinaan jalan raya.

Seorang lelaki maut dihempap lori pasir di Kapar, Klang. Gambar Ihsan Bomba Selangor

“Pasukan bomba telah berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori pasir yang terbalik itu tidak lama kemudian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, mangsa disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi nahas.

Menurut Norazam, pihaknya telah menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Kita masih berusaha mendapatkan identiti penuh mangsa yang maut dalam kemalangan itu,” ujarnya. – MalaysiaGazette