Gambar hiasan

AYER KEROH – Kerajaan Negeri Melaka menetapkan 20 November ini sebagai Hari Kelepasan Am Khas Negeri Melaka.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, ia bagi membolehkan rakyat negeri itu menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemilih.

“Ia bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

“Penetapan Hari Kelepasan Am Khas Negeri Melaka tersebut dibuat berdasarkan peruntukan subseksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

PRN Melaka perlu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka penggal ke-14.

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan susulan tindakan empat Ahli DUN (ADUN) iaitu Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai tarikh pengundian. – MalaysiaGazette