Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengayuh beca semasa hadir program santai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bandar Hilir, Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2021.

BANDAR MELAKA – Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan rumah bernilai RM100 juta dan akan dimasukkan dalam bajet tambahan jika dana mencukupi menimbulkan kemarahan Pakatan Harapan (PH).

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu menghukum kerajaan yang tidak mengendahkan kesusahan ramai kerana menghadiahkan Najib sebidang tanah dan sebuah rumah dengan nilai yang besar.

“Saya dengar kerajaan nak bagi RM100 juta kepada Najib, kita akan bantah dan lawan habis-habisan kerana rakyat susah. Orang yang kaya, banyak duit dihukum di mahkamah diberi RM100 juta.

“Kita lawan dan minta pengundi pangkah dan bagi sokongan kepada calon kita (Pakatan Harapan) sebagai protes kepada tindakan kerajaan nak beri RM100 juta kepada Najib,” katanya di Bandar Melaka hari ini.

Presiden PKR itu berkata demikian merujuk kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengesahkan Kabinet menerima permohonan daripada Najib untuk mendapatkan hartanah bernilai RM100 juta di ibu negara.

Tengku Zafrul pada sesi penggulungan di Dewan Rakyat berkata, maklumat berkaitan rumah dan hartanah tersebut tidak dimasukkan ke dalam Bajet 2022 kerana permohonannya dibuat selepas pembentangan.

Dalam pada itu, Anwar berkata, sebagai pembangkang pihaknya ini melihat berapa jumlah ahli Parlimen yang akan menyokong pemberian kepada Najib.

“Saya nak tengok ahli Parlimen UMNO, Bersatu, Pas dan GPS bangun sokong pemberian RM100 juta kepada Najib. Kalau sokong siap mereka,” katanya.

Perkara itu juga dibangkitkan bekas Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Tengku Zafrul menjelaskan mengapa Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 tidak menyentuh mengenai hartanah RM100 juta yang akan diberikan kepada Najib. – MalaysiaGazette