Covid-19
Gambar hiasan

MELAKA – Kadar kadar kebolehjangkitan kes Covid-19 (Rt) di Melaka berada pada tahap membimbangkan dengan peningkatan kepada 0.97 pada 12 November lalu biarpun jumlah kes dalam keadaan stabil dan terkawal.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Rusdi Abd Rahman berkata, peningkatan kes baharu dan nilai RT berbanding minggu sebelumnya menggambarkan potensi penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan masyarakat khususnya menjelang hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Menurut beliau, peningkatan nilai Rt berkadar terus dengan pertambahan kes baharu Covid-19 akan berlaku sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan sepenuhnya oleh semua pihak.

“Situasi Covid-19 di Melaka masih belum stabil dengan kadar insiden purata kes tujuh hari masih tinggi iaitu 19.9 per 100,000 penduduk pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-45 iaitu sehingga jam 12 tengah hari 13 November lalu.

“Kadar insiden jangkitan bagi tempoh 14 hari dari 4 November hingga 18 November adalah 290 per 100,000 penduduk dan menduduki tangga kelima tertinggi dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga ME ke-45, sebanyak 67,808 kes kumulatif Covid-19 telah dilaporkan dengan 2,724 kes aktif dan 915 kes kumulatif kematian.

Bagaimanapun jelasnya, kebanyakan indikator utama seperti purata kes aktif, kes kematian, dan kadar kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan tren penurunan.

“Walaupun begitu, situasi Covid-19 di Melaka masih belum stabil tetapi dalam keadaan terkawal walaupun baru-baru ini terdapat sedikit peningkatan kes kemasukan baharu ke hospital.

“Oleh itu, dalam persediaan menghadapi PRN Melaka esok, pihak kesihatan akan sentiasa menjalankan pemantauan dan penilaian dari semasa ke semasa supaya tindakan awal dapat diambil bagi mengatasi situasi katil hospital yang kembali sesak dengan pesakit COVID-19 di masa hadapan.

“Jabatan kesihatan Negeri Melaka (JKNM) berharap semua pihak terutama ahli politik, petugas pilihan raya, pengundi dan semua pihak sentiasa mematuhi arahan SOP Pelan Pemulihan Negara Fasa 4 dan patuh kepada amalan norma baharu dalam kehidupan seharian,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, susulan PRN Melaka, JKNM juga memulakan 11 langkah kesiapsiagaan bagi perawatan dan pemulihan pesakit COVID-19 dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Bagi kesiapsagaan fasiliti hospital Kementerian Kesihatan (KKM) jelasnya, bilangan katil bagi penjagaan Covid-19 boleh ditambah ke jumlah maksimum 721 katil di Hospital Melaka, di mana pesakit bukan Covid-19 boleh dihantar ke Hospital Daerah Jasin dan Alor Gajah untuk rawatan.

“Hospital-hospital swasta juga telah dimohon untuk bersiap sedia untuk menerima pesakit Covid-19 selain Hospital Melaka juga mempunyai fasiliti Hospital Medan MERCY Malaysia yang boleh merawat seramai 75 pesakit bagi mengurangkan beban pihak hospital.

“Permohonan kepada MERCY Malaysia untuk membina Stuktur Separa Kekal bagi merawat seramai 150 hingga 200 pesakit juga telah dibuat bagi menggantikan Hospital Medan sebagai perancangan jangka masa panjang,” katanya.

Usaha lain katanya adalah memindahkan perkhidmatan rawatan di Zon Hijau bagi pesakit tidak kritikal ke Klinik Kesihatan Peringgit yang dibuka 24 jam.

Malah, katanya, tujuh buah Klinik Kesihatan juga melanjutkan waktu operasi secara shif sehingga jam 9.30 malam untuk memudahkan pesakit mendapat rawatan. – MalaysiaGazette