Mohd Asmadi pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan 2,494 kes jenayah siber dengan nilai kerugian berjumlah RM78.87 juta sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Asmadi Yusoff jumlah kerugian bagi kes yang disiasat di Kontinjen Pulau Pinang adalah sebanyak 14.36 peratus daripada kerugian kes yang disiasat di seluruh Malaysia.

Mengulas lanjut Mohd Asmadi berkata, daripada jumlah keseluruhan kes di negeri ini, pelaburan tidak wujud mencatatkan kerugian paling tinggi iaitu sebanyak RM36.96 juta.

Kata beliau, kerugian kedua tertinggi membabitkan Macau Scam iaitu sebanyak RM13.34 juta dan diikuti dengan pembelian atas talian (RM4.94 juta), Love Scam/Parcel Scam (4.01 juta) serta pinjaman tidak wujud (RM3.58 juta).

“Berdasarkan statistik jenayah membabitkan pinjaman tidak wujud serta love scam/parcel scam saja menunjukkan penurunan berbanding tahun 2020 manakala jenayah lain menunjukkan peningkatan kes yang ketara.

“Sebanyak 323 kes dibuka dalam tempoh 10 bulan ini bagi kes pelaburan tidak wujud berbanding tahun lepas sebanyak 164 kes dengan nilai kerugian RM15.28 juta.

“Bagi kes pembelian atas talian pula, sebanyak 723 kes dilaporkan berbanding 525 kes tahun lepas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.

Menurut Mohd Asmadi, berdasarkan siasatan data yang direkodkan menunjukkan peningkatan kes berlaku seiring wabak Covid-19 melanda negara.

“Peningkatan kes dan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa di Pulau Pinang dikenal pasti berlaku akibat radius pergerakan masyarakat yang terhad sehingga menyebabkan urusan pembelian secara fizikal sukar dilakukan sekali gus penipuan semasa membuat pembelian secara atas talian meningkat.

“Sehubungan itu, saya nasihatkan orang awam untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan iklan-iklan promosi pelaburan di media sosial seperti Facebook, WhatsApp, WeChat dan sebagainya.

“Selain itu, jangan mudah tergoda dengan janji-janji manis sindiket menawarkan pelaburan dengan pulangan yang tinggi ini kerana tiada pelaburan yang menawarkan pulangan begitu tinggi dalam tempoh yang singkat,” tegas Mohd Asmadi.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berkenaan jenayah penipuan melalui portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di ccid.rmp.gov.myatau Facebook Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police.

Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Infoline JSJK melalui aplikasi WhatsApp di talian 013 211 1222 bagi menyalurkan aduan atau mendapatkan maklumat lanjut berkenaan ke-kes jenayah komersial. – MalaysiaGazette