Muhammad Fauzi.

KEPALA BATAS -Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) akan memanggil syarikat pembangunan projek tambakan laut Pulau Pinang Selatan (PSI) dan pemaju projek pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar bagi mendapatkan penjelasan mengenai projek tersebut.

Pengerusinya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, kedua-dua syarikat berkenaan akan dipanggil pada 14 Mei ini.

“Kedua-dua projek yang akan dijalankan itu melibatkan kepentingan umum khususnya penduduk di negeri ini malah menyebabkan kagusaran ramai.

“Hasil laporan membabitkan dua projek itu dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka akan bermula hujung Mei ini untuk dibahaskan.

Kira-kira 5,000 hadir memeriahkan Rumah Terbuka Pas negeri yang diadakan di Markas Pas negeri di Pongsu Seribu di sini.

“Hari ini rata-rata rakyat meminta projek PSI dan asrama warga asing dapat dinilai semula dan selain mendesak kerajaan negeri membuat satu keputusan yang baik untuk kepentingan semua,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pulau Pinang di Markas Pas negeri Pongsu Seribu, di sini hari ini.

Projek PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Penang South Reclamation (PSR) adalah projek mega melibatkan tambakan bagi mewujudkan tiga pulau dengan keluasan 1,821 hektar di kawasan selatan Pulau Pinang.

Manakala bagi projek asrama pekerja asing pula, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dilaporkan belum memuktamadkan perancangan membinanya di Teluk Kumbar. – MalaysiaGazette