Calon Sg Udang,Datuk Seri Mohamad Ali selesai mengundi

MELAKA – Rakyat dahagakan kestabilan dan kemakmuran dan ini mendorong mereka mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, rakyat sudah bosan dengan keadaan politik ‘flip flop’ selain daripada janji yang tidak tertunai.

“Rakyat kini lebih celik dan sedar selama ini BN yang telah banyak menyumbang dan berjasa membina negara sehingga ke tahap ini, ketika itu pembangkang hanya bercakap dan membangkang sahaja.

“Rasanya kali ini rakyat Melaka akan memilih BN dan Insya-Allah, BN akan memenangi PRN,” katanya selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Lih Jen di Klebang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kata Mohamad Ali yang juga dikenali dengan panggilan Cikgu Ali berkata, mengikut laporan serta analisis, sekurang-kurangnya 18 kerusi akan menjadi milik BN. -MalaysiaGazette