Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan secara berhati-hati minggu depan susulan kekurangan pemangkin utama untuk mempengaruhi minat risiko pelabur.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, pembelian ke atas saham yang mengalami penurunan mungkin berterusan, dengan FBM Bursa Malaysia (FBM KLCI) kekal disokong dengan baik melebihi paras 1,520.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI bergerak pada julat 1,525 hingga 1,545 minggu depan.

“Dari sudut pandangan teknikal, indeks penanda aras itu akan mencatatkan sokongan serta-merta pada 1,520 diikuti sokongan psikologi pada 1,500 manakala rintangan pada paras 1,565,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, indeks itu meningkat 1.75 mata untuk ditutup pada 1,525.54, didorong terutama oleh kaunter telekomunikasi dan media.

Thong berkata ,pasaran serantau utama kebanyakannya positif selepas dagangan Wall Street berakhir pada prestasi tinggi semasa sesi sebelumnya.

“Bagaimanapun, sentimen pelabur di Hong Kong dan China menjadi berhati-hati selepas Alibaba gagal menepati jangkaan perolehan dan keuntungan, menyebabkan saham itu merosot lebih 10 peratus,” katanya.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, indeks yang penanda aras pasaran susut 5.68 mata untuk mengakhiri dagangan minggu ini pada 1,525.54 daripada 1,531.22 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 83.21 mata kepada 11,245.64, Indeks FBMT100 kurang 71.73 mata kepada 10,895.58 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 112.27 mata kepada 12,227.75.

FBM 70 merosot 218.98 mata kepada 14,783.56 manakala FBM ACE menguncup 162.93 mata kepada 6,815.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.87 mata kepada 15,225.58, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.70 mata kepada 199.97 dan Indeks Tenaga kurang 19.05 mata kepada 769.80.

Indeks Perladangan susut 67.84 mata kepada 6,605.10, Indeks Penjagaan Kesihatan kurang 51.93 mata kepada 2,308.06 manakala Indeks Teknologi menokok 1.31 mata kepada 100.47.

Jumlah dagangan mingguan sebanyak 15.25 bilion unit bernilai RM11.17 bilion berbanding 15.77 bilion unit bernilai RM11.71 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 10.02 bilion saham bernilai RM9.54 bilion daripada 10.30 bilion saham bernilai RM9.87 bilion pada mingu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.42 bilion unit bernilai RM299.53 juta daripada 1.18 bilion unit bernilai RM208.88 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula turun kepada 3.78 bilion saham bernilai RM1.33 bilion daripada 4.25 bilion saham bernilai RM1.62 bilion. – MalaysiaGazette