Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka malam tadi memberi gambaran rakyat mula kembali yakin kepada parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, keyakinan itu dicetuskan rakyat Melaka selepas melihat perubahan demi perubahan kerajaan dalam tempoh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat negeri Melaka yang telah membuat pilihan tepat dengan memberi kepercayaan kepada BN pada PRN semalam.

“Melihat kepada “track record” kerajaan BN yang lepas, BN adalah sebuah parti yang sentiasa membawa suara rakyat dan menunjukkan prestasi urus tadbir negeri yang baik, selain berjaya memakmurkan Melaka berdekad lamanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, mengambil iktibar daripada keputusan PRU14, BN sedikit pun tidak menyalahkan rakyat yang terpedaya dengan janji kosong Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Malah, ternyata janji manis yang ditabur oleh PH hanya umpan untuk memancing undi dan menarik sokongan, sedangkan jelas parti itu gagal sama sekali melaksanakan janji manifesto tipu mereka.

“Kita berharap momentum kepercayaan rakyat kepada BN ini akan berterusan ke peringkat nasional dalam menghadapi PRU15 tidak lama lagi nanti.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera UMNO Kelantan yang bertungkus lumus berminggu-minggu membantu jentera tempatan di DUN Rembia dan DUN Machap Jaya, sekali gus memberi kemenangan kepada BN.

“Saya juga merakamkan setinggi tahniah kepada Pengerusi Barisan Nasional, Timbalan Pengerusi, Perdana Menteri dan juga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak di atas penglibatan sepenuh masa di dalam kempen di Melaka ini,” katanya. – MalaysiaGazette