zambry Naib Presiden
Zambry Abdul Kadir

KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka malam tadi menghantar mesej bagi parti itu untuk belajar daripada kesilapan lalu dan berani melakukan pembaharuan yang diimpikan oleh rakyat.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, Melaka menjadi titik permulaan ke arah membina politik pembaharuan BN.

“Selaku SUA BN, saya menganggap keputusan PRN Melaka adalah reset buat BN untuk mendepani cabaran yang akan datang.

“Kita mulakan pembaharuan awal dengan mengemukakan sebanyak 86 peratus muka baharu untuk PRN Melaka ini.

“Semoga kemenangan ini tidak akan menjadikan BN terjerumus dalam keangkuhan kuasa,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Dalam PRN semalam, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

BN diketuai Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Pengarah Pilihan Raya Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan, Pengerusi Penasihat UMNO, Datuk Seri Najib Razak, pimpinan komponen MCA dan MIC, Friends of BN serta seluruh jentera negeri dan bahagian di Melaka.

Menurut Dr. Zambry, rakyat menghantar pelbagai mesej untuk UMNO, BN melakukan muhasabah dan membetulkan diri, termasuklah mereka sudah muak dengan politik maki hamun dan fitnah.

Katanya, apa yang rakyat mahu ialah kestabilan yang berpanjangan agar mereka dapat keluar dari kesusahan dan kemelaratan ekonomi.

“Terima kasih kepada sekelian rakyat Melaka yang melaksanakan hak demokrasi anda di tengah-tengah cabaran pandemik Covid-19.

“Terima kasih juga kepada seluruh anggota barisan hadapan dan beruniform yang bekerja keras memastikan perjalanan PRN Melaka diadakan dengan baik dan lancar,” katanya. – MalaysiaGazette