Former Chief Minister of Penang, Lim Guan Eng and former Penang Barisan Nasional Chairman Teng Chang Yeow have settled a defamation suit amicably over an article on Pulau Jerejak in a consent judgement at the Penang High Court.
Lim Guan Eng arrives at the Penang High Court this morning. Guan Eng tiba di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kes saman fitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap bekas Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berhubung artikel mengenai Pulau Jerejak diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Kes saman itu selesai, selepas Chang Yeow selaku defendan membacakan permohonan maaf kepada Guan Eng selaku plaintif di hadapan Hakim, Datuk Seri Tun Majid Tun Hamzah.

Kenyataan permohonan maaf itu turut disaksikan peguam, Datuk N. Mureli yang mewakili Guan Eng.

Guan Eng bersama peguamnya Mureli.

Dalam pernyataan maaf yang dibacakan itu, Chang Yeow menyakal dan menarik semula dakwaan yang dibuatnya menerusi satu sidang media pada 15 November 2016 yang mana kenyataan tersebut disiarkan pada keesokan hari di akhbar tempatan.

“Saya menyesali tuduhan saya yang tidak berasas menyebabkan kesusahan dan kesukaran terhadap Lim Guan Eng atas penerbitan artikel terbabit,” katanya.

Selain itu, Chang Yeow juga perlu membayar kos RM75,000 kepada Guan Eng seperti persetujuan yang direkodkan Mahkamah Rayuan pada 12 November lalu.

Pada April 2017, Guan Eng memfailkan saman menamakan Chang Yeow, yang juga bekas Pengerusi Gerakan Pulau Pinang; Pengarang Berita Star Media Group Berhad, David Tan dan wartawan Crystal Chiam Shiying selaku defendan.

Dalam tuntutannya, Guan Eng mendakwa Chang Yeow membenarkan dan atau menyebabkan kenyataan palsu ditulis dan diterbitkan di akhbar atau di laman web.

Guan Eng mendakwa laporan berita bertajuk ‘Pulau Jerejak land sale questioned’ diterbitkan pada 16 November 2016 mengandungi kenyataan fitnah dan tidak benar, mengaitkan beliau dalam isu berkenaan.

Susulan itu, pada 29 Jun 2019, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membatalkan saman Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan atas alasan bekas Menteri Kewangan itu tidak mempunyai locus untuk menyaman mana-mana pihak atas kapasiti rasminya.

Namun, pada 12 November lalu Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan mahkamah terdahulu dan memerintahkan agar kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. – MalaysiaGazette