Datuk Seri Mohamad Hamdan menyampaikan pingat kebesaran Jabatan Bomba di The Light Hotel, Seberang Jaya Pulau Pinang hari ini.

SEBERANG JAYA – Seramai 1,696 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara disahkan positif Covid-19 sepanjang pandemik itu melanda sehingga kini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, walaupun begitu perkhidmatan pihak tidak terjejas.

Sehingga kini, katanya, kira-kira 68 anggotanya yang kini masih dikuarantin selepas disahkan positif.

Ada antara mereka dikuarantinkan di rumah, hospital serta di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC).

Datuk Seri Mohammad Hamdan.

“Bagaimanapun, perkhidmatan jabatan bomba tidak terjejas walaupun angka jangkitan Covid-19 itu rekodkan sejak tahun lalu.

“Dua daripada 1,696 yang telah dijangkiti itu telah terkorban dan mereka merupakan pegawai kanan di Sabah dan Negeri Sembilan yang mendapat penularan daripada komuniti dan bukan ketika tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di Hotel The Light di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar.

Pada majlis itu seramai 37 pegawai dan anggota menerima pingat kebesaran jabatan termasuklah Pingat Jasa Bomba, Pingat Setia Bomba dan Pingat Cemerlang Bomba serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (68 orang) dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan (19 orang).

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, setakat ini, kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan 14,500 anggota bomba telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

“Keutamaan diberikan kepada pegawai dan anggota yang berkhidmat di negeri berisiko banjir bagi persediaan menghadapi sebarang kemungkinan ketika ini.

“Ini kerana pengendalian banjir dan pengurusan bencana itu pada kali ini cukup mencabar di kala pandemik,” katanya. – MalaysiaGazette