Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – SOP ketat sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, menjadi topik hangat yang dibangkitkan beberapa Ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SOP itu sedikit sebanyak mengekang kebebasan jentera parti dan calon untuk berkempen secara bersemuka kepada pengundi.

Beliau mengakui, jentera Pakatan Harapan (PH) dan calon mereka tidak dapat memberi pencerahan dan penerangan berhubung misi dan visi parti kerana sekatan oleh SOP ketat yang dikemukakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebelum saya mulakan perbahasan ini, saya ingin ucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) yang menang di Melaka. Mudah-mudahan amanah yang dipikul itu disempurnakan dengan sebaiknya.

“Berkaitan dengan MKN dan SOP Melaka yang kemudian diikuti oleh Suruhan Pilihan Raya (SPR), banyak mengekang kebebasan.

“PRN ini adalah kesempatan untuk parti memberi pencerahan, penerangan, tetapi kalau penerangan tidak dapat disampaikan, selain risalah dan tidak dapat bertemu maka ada kekangan dan masalah di situ,” katanya dalam perbahasan Bajet bagi Jabatan Perdana Menteri di peringkat jawatankuasa di Parlimen.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memohon agar MKN mempertimbangkan semula SOP itu termasuk mengubah beberapa peraturan supaya sesuai dengan sistem demokrasi dan menyarankan PRN Sarawak diadakan secepat mungkin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menyifatkan peraturan kempen PRN Melaka terlalu ketat dan tidak praktikal serta berharap SPR akan mengadakan perbincangan dengan semua wakil parti politik untuk menyemak semua SOP yang dilaksanakan.

Teresa Kok

Beliau berpendapat, banyak peraturan SOP dilaksanakan di Melaka tidak masuk akal, khususnya peraturan melarang kempen pilihanraya, malah termasuk lawatan dari pintu ke pintu oleh calon dan pegawai mereka.

Selain itu, beliau mempersoalkan kenapakah gambar ataupun bill board Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Seri Muhyiddin Yassin dibenarkan dipasang di seluruh Melaka.

“Sedangkan peraturan SPR menetapkan hanya gambar calon dibenarkan untuk dipaparkan sahaja? Kenapakah YB Pagoh diberi kebenaran untuk menegakkan billboardnya di seluruh Melaka, bukankah ini “double standard”?

“Saya juga menyeru supaya kertas undi dicetak dalam warna supaya pengundi dapat mengenalpasti logo parti politik dengan jelasnya, kerana logo dalam “hitam putih” tidak memberi gambaran jelas kepada pengundi khususnya yang tidak mempunyai penglihatan baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. bagus buat SOP begini nampak tenang dan tidak menggangu orang ramai sehingga menimbulkan permasalahan.Harap SPR buat begini untuk PRN Sarawak.
    Sekarang rakyat sudah matang dan bijak memilih ,Kalau tahu kencing rakyat dan berbohong bila berjanji maka memang Rakyat menolak sebab RAKYAT TAHU KUASA MEMILIH.
    HIDUP KUASA RAKYAT
    #KUASARAKYAT
    #UndurAnwarIbrahim

Comments are closed.