Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 (APDN 2020) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 23 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang sesuka hati.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak penguat kuasa itu perlu melakukan pemantauan dan operasi yang lebih agresif bagi membendung kenaikan harga barang di pasaran.

“Tindakan ini untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang keperluan sehingga mengundang kemarahan rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Anugerah Perdagangan Dalam Negeri (APDN) 2020 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 (APDN 2020) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 23 NOVEMBER 2021.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Perdana Menteri berkata, ketika negara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, KPDNHEP dipertanggungjawabkan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.

“Pemantauan setiap hari ini merupakan manifestasi komitmen KPDNHEP atas tanggungjawab yang kerajaan berikan bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan mencukupi.

“Tanggungjawab serta peranan yang telah dimainkan KPDNHEP ini tidak pernah didendang.

“Sewajarnya hari ini kita berikan penghargaan kepada seluruh warga KPDNHEP terutama anggota penguatkuasaan serta pegawai-pegawai yang berdedikasi penuh, profesional serta komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberikan,” katanya.

Sementara itu, semua pihak perlu berani untuk melakukan ‘reboot’ dan melaksanakan amalan terbaik dalam industri kerana pendigitalan adalah agenda utama pada hari ini, katanya.

“Agenda ini menjadi fokus utama kerajaan untuk tahun-tahun mendatang. Antaranya ialah mempercepatkan agenda digitalisasi, konsep perniagaan omli channel dan fokus kepada low touch ekonomi perlu diberi penekanan.

“Sudah pasti kedua-dua agenda ini memerlukan pemain industri untuk menerima dan mengguna pakai teknologi serta digitalisasi dengan lebih meluas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette