Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui pengadil perlawanan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021 menentang Terengganu kelmarin menampilkan prestasi yang buruk.

Bagaimanapun kata beliau, isu pengadilan teruk bukan sahaja berlaku dalam permainan tersebut, malah kebanyakan perlawanan Liga Malaysia (Liga M) dan ia terjadi setiap tahun.

Ref (pengadil) teruk. Bukan game (perlawanan) ini sahaja. Majority (kebanyakan) games (perlawanan) setiap tahun.

“Sabah lwn (lawan) Terengganu, JDT lwn Kelantan, Negeri Sembilan lawan Sarawak dan lain lain.

“Setiap tahun benda yang sama. Kami perlu improvement (penambahbaikan) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mesti ambil tindakan,” tulisnya dalam Twitter.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Tuan Ahmad Yassin diberikan tanggungjawab untuk memimpin aksi berprofil tinggi antara dua pasukan ini.

Bagaimanapun, prestasi Ahmad mendapat kritikan pedas terutamanya daripada peminat Terengganu FC apabila beliau gagal melayangkan kad kepada pemain JDT yang membuat kekasaran.
Sementara itu, Tunku Ismail berkata, sudah tiba masanya video bantuan pengadil (VAR) digunakan dalam Liga M. – MalaysiaGazette