Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Keutamaan Strategik Tadbir Urus
Korporat 2021 – 2023 (Keutamaan Strategik CG), antara lain, untuk meningkatkan pencapaian matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kepimpinan lembaga pengarah.

Ia menggariskan 11 inisiatif yang disasarkan seperti program induksi untuk para pengarah mengenai kemampanan,
siri pendidikan pelabur berhubung tadbir urus korporat dan kemampanan, dan peningkatan kerjasama dengan universiti untuk meningkatkan kefahaman para belia mengenai isu semasa tadbir urus korporat dan kemampanan.

Keutamaan Strategik CG merupakan komponen penting Pelan Induk Pasaran Modal 3 yang dilancarkan pada September 2021 yang menyediakan hala tuju bagi pasaran modal Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Keutamaan Strategik CG dirumus berasaskan rancangan SC sebelumnya bagi tahun 2017 hingga 2020, yang mana skor pelaksanaan sebanyak 90% telah dicapai.

Pengerusi SC Datuk Syed Zaid Albar berkata, kesediaan dalam bidang ESG bukan lagi satu pilihan bagi syarikat, kerana pihak berkepentingan menjangkakan tingkah laku yang lebih bertanggungjawab, mampan dan memberi tumpuan kepada iklim.

Jangkaan ini akan meningkat dari semasa ke semasa dan oleh itu, lembaga perlu bersedia dari segi ESG.

Menyedari keperluan untuk lembaga pengarah agar cekap dan berkesan ketika menghadapi tempoh yang mencabar dan tidak menentu, SC akan melaksanakan langkah-langkah untuk menambah baik kepelbagaian lembaga pengarah, termasuk mempercepatkan penglibatan kaum wanita dalam lembaga pengarah dan dalam pengurusan kanan.

Syarikat tersenarai diingatkan  walaupun lembaga pengarah wajib mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita, mereka perlu berusaha mencapai sasaran 30% pengarah wanita dalam meraih manfaat dengan mempunyai kepelbagaian dalam lembaga pengarah.

Pada masa ini, hanya 162 syarikat tersenarai mempunyai sekurang-kurangnya 30% wanita dalam lembaga pengarah mereka.

Agar sesebuah syarikat kekal bertahan dan berdaya saing, semasa dan selepas pandemik, lembaga pengarahnya harus mampu memanfaatkan idea, pandangan dan penyelesaian yang berbeza daripada para pengarah.

”Pengerusi Jawatankuasa Penamaan harus bertindak dan memastikan proses pemilihan dan penamaan pengarah memudahcarakan pelantikan individu yang layak dalam lembaga pengarah,” katanya.

Kerjasama dengan pihak berkepentingan utama akan terus memastikan kesejajaran inisiatif tadbir urus korporat di negara ini. SC kini menyediakan input teknikal dalam menyokong program PERKUKUH Kerajaan untuk menambah baik amalan tadbir urus korporat dalam kalangan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan mengoptimumkan prestasi dan sumbangan GLIC dalam pembangunan negara.

Sementara itu, di samping Keutamaan Strategik CG, SC turut mengeluarkan laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 (Corporate Governance Monitor 2021) untuk sorotan kemajuan yang telah dicapai dalam pemakaian Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) edisi 2017.

Tahap pemakaian kebanyakan amalan kekal positif dengan 24 daripada 36 amalan terbaik merekodkan tahap pemakaian sekurang-kurangnya 90% (2019: 23 amalan).

Tahap pemakaian yang paling rendah adalah bagi amalan yang berkaitan dengan pendedahan imbuhan kepada pengurusan kanan yang mana hanya 5% daripada syarikat tersenarai mendedahkan imbuhan terperinci pengurusan kanan mereka.

“Ketelusan mengenai gaji adalah penting untuk meningkatkan kesejajaran antara gaji dan prestasi dan untuk pemegang saham menilai sama ada struktur insentif memacu tingkah laku yang sewajarnya,” kata Syed Zaid.

Pemantauan Tadbir Urus Korporat 2021 menampilkan tiga rencana tematik, termasuk laporan Lembaga Pemantauan Audit (AOB) SC tentang demografi jawatankuasa audit dari segi kebebasan, kepelbagaian dan kecekapan.

Selain itu, AOB menekankan kriteria pemilihan juruaudit luar hendaklah meliputi antara lain, pertimbangan terhadao kebebasan, kecekapan, tahap kualiti audit dan kapasiti sumber. MCCG mengesyorkan agar Jawatankuasa Audit mempertimbangkan maklumat yang dibentangkan dalam Laporan Ketelusan Tahunan yang dikeluarkan oleh firma audit ketika menilai pelantikan dan pelantikan semula juruaudit luar. – MalaysiaGazette