Abd Rahim Muda

KUANTAN – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang telah membuka sebanyak 59 kes sampah haram antara 2015 hingga 2021.­

Pengerusi Jawatannkuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahim Muda berkata, pihaknya juga telah mengenakan denda berjumlah RM282,500 kepada individu yang melakukan kesalahan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan untuk tempoh tersebut.

Jelasnya, SWCorp sentiasa membuat pemantauan sampah haram di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal Terkawal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

“Ianya peruntukan bagi mengawal selia pengurusan sisa pepejal terkawal dan pembersihan awam bagi maksud menyenggara kebersihan yang sepatutnya dan perkara yang bersampingan dengannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pada tahun ini sebanyak sembilan kes sampah haram dibuka bagi tujuan pendakwaan di bawah Seksyen 14 dan Seksyen 71, di bawah Akta 672.

“Daripada jumlah tersebut, lapan kes didakwa di bawah Mahkamah Seksyen Kuantan dan satu di Mahkamah Seksyen Raub.

“Manakala tujuh kes telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Seksyen Kuantan dengan jumlah denda keseluruhan RM100,000 sepanjang tahun 2021,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Abdul Rahim,terdapat satu kes yang akan disebut semula di Mahkamah Sekyen Kuantan pada Mac 2022.

Tambahnya, kebanyakan kes yang dijatuhkan hukuman melibatkan syarikat termasuk pengusaha kedai melupuskan sisa makanan di tempat tidak dibenarkan.

Kebanyakan pesalah menggunakan alasan tidak mahu menanggung kos yang perlu dibayar apabila menghantar sisa makanan untuk dilupuskan ke tapak pelupusan, ujarnya. – MalaysiaGazette