Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali melawat gerai barang tempatan ketika menghadiri Majlis Penutupan Karnival Jualan Barangan Tempatan PUSPANITA di Pekarangan Gelanggang Puspanitapuri, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ 26 NOVEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) disaran menceburi bidang pendigital dalam menghadapi pandemik Covid-19 ketika ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, ini kerana bidang itu antara aspek yang diberi penekanan oleh kerajaan bukan sahaja dalam sektor awam dan sektor korporat.

Bahkan jelas beliau, para usahawan dan peniaga mikro dan sederhana juga perlu mempunyai perubahan minda untuk berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan.

“Ia supaya mampu menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan.

“Pendigitalan seperti e-Wallet, Shoppee, Lazada juga semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna.

“Ini menunjukkan bahawa pendigitalan adalah elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Jualan Barangan Tempatan PUSPANITA sempena Seminar Keusahawanan Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Zuki percaya bahawa aspek pendigitalan itu telah dikongsikan sepanjang dua hari tempoh seminar keusahawanan yang berlangsung.

“Semoga para peserta dan bakal usahawan yang berpotensi mendapat pengetahuan dan kemahiran berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Karnival Jualan Barangan Tempatan diadakan sempena dengan Seminar Keusahawanan Keluarga Malaysia yang turut berlangsung selama dua hari.

Mengambil tema “Barang Baik, Barang Kita”, Puspanita berjaya menganjurkan seminar keusahawanan dan karnival jualan ini secara serentak dengan kerjasama bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Ini merupakan salah satu bentuk kolaborasi strategik antara Puspanita selaku Rakan Perkhidmatan Awam bersama kementerian dan agensi kerajaan dalam menyebarluas dasar dan aspirasi semasa kerajaan. – MalaysiaGazette