Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan harapan dapat membawa kemajuan kepada rakyat kawasannya apabila berada dalam komponen kerajaan.

Beliau berkata, sepanjang berada dalam blok pembangkang iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum keluar parti itu pada Oktober lalu sebagai Bebas, tidak dapat membantu rakyat dan kawasan kerana tiada peruntukan mencukupi.

“Saya menyertai Bersatu dengan harapan dapat membawa kemajuan dan juga membantu penyokong serta rakyat di kawasan saya khasnya Lahad Datu

“Lahad Datu ada empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu daripadanya (DUN Segama) saya sebagai ADUN.

“Kawasan saya ini besar (luas) dan memerlukan peruntukan yang banyak dan boleh dikatakan kawasan ini agak jauh ketinggalan berbanding kawasan lain,” katanya pada sidang media, hari ini.

Semalam, beliau secara rasminya menjadi ahli Bersatu yang baharu dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, permohonan keahlian Mohamaddin diperaku dan diterima dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam tadi yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohamaddin berharap, rakyat kawasannya faham dengan tindakannya yang dikatakan bertindak demikian untuk kemajuan mereka.

“Saya telah diundi oleh rakyat untuk jadi wakil rakyat. Dalam erti kata lain, saya terhutang budi kepada rakyat.

“Apabila saya diundi oleh rakyat untuk menjadi waki rakyat, rakyat itu sendiri mengharapkan sesuatu yang saya boleh bawa untuk mereka.

“Sekarang saya bersama dalam salah satu komponen kerajaan, bolehlah saya membawa manfaat kepada rakyat di kawasan saya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.