Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor merekodkan kutipan hasil merekodkan jumlah sebanyak RM2.1 bilion bersamaan dengan 95.47 peratus daripada anggaran hasil tahun 2021 sebanyak RM2.2 bilion pada tahun ini sehingga 26 November lalu.

Hasil Cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM605.57 juta (90.57 peratus), hasil bukan cukai RM1,275.86 juta (97.34 peratus) dan terimaan bukan hasil berjumlah RM218.84 juta (99.23 peratus) daripada anggaran.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dengan beberapa tindakan yang telah dirancang dan dilaksanakan kerajaan negeri yakin dapat mencapai sekitar 96% daripada anggaran awal pendapatan tahun 2021.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2022 Negeri Selangor hari ini.

Pada tahun lalu, kutipan hasil negeri sebanyak RM2.256 bilion pada tahun lalu, jumlah itu melebihi sebanyak 2.57% daripada anggaran yang telah ditetapkan walaupun di dalam keadaan ekonomi yang perlahan pada tahun tersebut.

Daripada jumlah berkenaan, hasil cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM619.31 juta, hasil bukan cukai RM1,360.49 juta dan terimaan bukan hasil berjumlah RM277.85
juta.

Manakala bagi tahun ini sehingga 26 November 2021, kutipan hasil merekodkan jumlah sebanyak RM2.1 bilion bersamaan dengan 95.47 peratus daripada anggaran hasil tahun 2021 sebanyak RM2.2 bilion.

Katanya, kedudukan kewangan negeri sehingga 23 November 2021 adalah lebih baik dengan kedudukan rizab semasa negeri sebanyak RM3.117 bilion yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan berjumlah RM938.36 juta dan Akaun Amanah Disatukan berjumlah RM2. 179 bilion.

Pada 31 Disember 2020, jumlah wang awam Kerajaan Negeri Selangor di dalam Kumpulan Wang Disatukan yang terdiri daripada wang tunai dan pelaburan di dalam Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan ialah sebanyak RM2,445,127,179.48.

Ini bermaksud Kerajaan Negeri Selangor berjaya meningkatkan rizab dari RM2.1 bilion pada tahun 2019, ujarnya. – MalaysiaGazette