Gambar tular perlanggaran SOP oleh sekumpulan pelanggan sebuah pusat hiburan di ibu negara di media sosial hari ini.- Gambar Ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Gara-gara gagal memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi puluhan pelanggan di pusat hiburannya, pemilik premis berkenaan menerima kompaun daripada polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, video berkenaan melibatkan premis pusat hiburan di Jalan Panggong City Centre tular di media sosial dan menerima banyak reaksi netizen.

Menurutnya, pukul 9 pagi tadi, pihaknya mengesan video  berdurasi 14 saat dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Twitter bernama malaysiancitizen.

Ia menunjukkan sekumpulan individu berhibur di sebuah premis yang didapati melanggar SOP PPN Fasa 4 dengan tidak melaksanakan penjarakan fizikal.

“Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah menjalankan pengesanan ke atas pemilik premis tersebut yang didapati melanggar SOP sebaik sahaja video tersebut tular.

“Hasil daripada pengesanan ini, pemilik premis tersebut telah dikenal pasti dan telah dihubungi untuk hadir ke IPD Dang Wangi bagi tujuan rakaman percakapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Noor Dellhan, sebaik sahaja rakaman percakapan selesai diambil, pemilik premis berkenaan telah dikenakan kompaun RM20,000 atas kesalahan gagal melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan mengikut Peraturan 16 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (PPN) 2021.- MalaysiaGazette