PDRM
Gambar hiasan

KAJANG – Lima pelajar senior yang disiasat dalam kes dua beradik yang merupakan pelajar tahun dua sebuah pusat tahfiz di Hulu Langat dipukul dan ditendang di madrasah berkenaan akan dituduh esok.

Sebelum ini, kesemua suspek berusia antara 14 hingga 24 tahun telah ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan polis.

Sumber memaklumkan sebelum ini kertas siasatan kes berkenaan yang dilengkapkan polis telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Kini kita sudah mendapat arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk mendakwa kelima-lima suspek di Mahkamah Majistret Kajang pada pagi esok (Isnin),” kata sumber kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes telah disiasat oleh polis di bawah Seksyen 147 dan 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Sebelum ini kesemua suspek yang direman sehingga Jumaat lalu telah dirakam keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas mengambil kira faktor usia mereka yang masih dalam kategori kanak-kanak.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan pada malam 25 November lalu telah mengesahkan mengenai insiden buli pelajar tahfiz itu.

Kata beliau, pihaknya menerima satu laporan polis pada jam 6.19 pagi, Isnin lalu daripada seorang lelaki mengenai kes buli, pukul membabitkan kedua-dua anak saudaranya yang merupakan pelajar tahun kedua di madrasah itu .

Katanya, berdasarkan siasatan awal polis mendapati kedua-dua mangsa berusia 11 dan 12 tahun itu telah mengalami kecederaan fizikal di muka dan badan dipercayai akibat ditampar, ditumbuk dan ditendang oleh pelajar senior.

“Kejadian dipercayai telah berlanjutan selama beberapa bulan yang mana kedua-dua mangsa di’raging’ dan dipukul tanpa pengetahuan pihak pengurusan pusat madrasah tersebut oleh pelajar senior.

“Lebih menyedihkan kedua-dua mangsa juga diugut supaya tidak menceritakan kejadian kepada sesiapa (termasuk madrasah),” katanya.

Kedua-dua mangsa sudah dirujuk ke hospital dan doktor mengesahkan seorang mangsa mengalami kecederaan pendarahan di mata kiri manakala seorang lagi perlu menjalani pemeriksaan lanjut. – MalaysiaGazette