Wee Ka Siong bertanya sesuatu kepada seorang lelaki yang berada di Bangunan JPJ Johor.

KUALA LUMPUR – Sistem perkhidmatan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedia ada terlalu kuno (lebih daripada 10 tahun) dan perlu ada anjakan paradigma ke arah digitalisasi untuk jangka panjang bagi memastikan semua perkhidmatan kaunter JPJ menjadi lebih efisen dan tidak menyusahkan rakyat.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata demikian selepas melakukan lawatan mengejut di Bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor.

Semasa lawatan itu beliau mendapati ramai orang beratur panjang untuk mendapatkan cetakan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Ka Siong yang sedih dan terkilan apabila melihat orang ramai masih beratur panjang di sekeliling Bangunan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor mengingatkan JPJ supaya tidak membiarkan orang ramai menunggu berjam-jam untuk mendapatkan cetakan LMM.

”Ada yang memberitahu saya bahawa LMM tidak dapat diperbaharui di UTC dan Pejabat Pos. Ada juga yang mempersoalkan sistem MySikap yang transaksinya dibuat secara dalam talian, namun masih lagi perlu hadir ke JPJ untuk urusan percetakan.

”Daripada 4 mesin cetak LMM yang dibekalkan oleh pembekal perkhidmatan, Percetakan Keselamatan Nasional (PKN), hanya dua mesin sahaja yang berfungsi di Pejabat JPJ Johor ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau yang amat kecewa dengan situasi itu telah menghubungi serta mengarahkan PKN segera membaiki atau menghantar mesin cetak LMM.

”Jangan buang masa orang ramai beratur panjang dan berjemur di bawah matahari yang terik. Pihak PKN berjanji akan melakukan tindakan serta-merta.

”Saya juga tegur warga JPJ Johor agar memantau rapi kesesakan di Bangunan JPJ khususnya pada hari Ahad dan segala kesulitan yang dihadapi bolehlah dilaporkan terus kepada saya. Saya beri terus nombor telefon bimbit saya kepada pegawai JPJ Johor.

”Saya pesan, jangan biarkan orang awam menunggu berjam-jam hanya kerana mahu mendapatkan cetakan LMM,” ujarnya.

Pada waktu yang sama, beliau juga mengarahkan Ibu Pejabat JPJ supaya serta-merta mengumpulkan maklumat dari semua cawangan JPJ, UTC dan Pejabat Pos tentang prestasi terkini pencetakan LMM dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) menggunakan mesin cetak yang dibekalkan oleh PKN kerana tidak mahu masalah sama berlaku di tempat lain yang akhirnya membazir masa rakyat.

”Rakyat tentu marah jika terpaksa lari ke sana ke sini untuk urusan LMM atau LKM yang sepatutnya diselesaikan dengan mudah dan cepat.

”Saya akan cuba sedaya upaya mengimbangi jurang di antara perancangan JPJ dan aspirasi rakyat. Apa yang penting, perkhidmatan yang diberikan perlulah sentiasa baik, lancar, menjimatkan masa dan memenuhi kehendak orang ramai,” katanya. – MalaysiaGazette