KUALA LUMPUR –  Isteri pemain gitar kumpulan Search, Kid iaitu Noraznin Yusof disahkan meninggal dunia akibat kanser darah atau leukemia tahap empat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM), Cheras, di sini, pada pagi hari ini.

Noraznin, 55, sudah setahun ditempatkan dan dirawat di hospital itu selepas dikesan menghidap penyakit tersebut pada Disember tahun lalu.

Jenazah dibawa ke Masjid Teras Jernang, Bandar Baru Bangi untuk disembahyangkan selepas solat Zohor di masjid sama.

Kid sebelum ini memberitahu, Noraznin turut mengalami jangkitan pada paru-paru dan terpaksa dikomakan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HCTM sejak awal Jun lalu dan sedar sembilan hari kemudian.

Menurut Kid, isterinya perlu menjalani rawatan kimoterapi dengan anggaran kos RM60,000.

Kid dan Noraznin dikurniakan dua anak yang mana anak sulung mereka, Deanda sudah bekerja manakala anak bongsu, Aaqil Naquidean bersekolah di tingkatan lima. – MalaysiaGazette